Selasa, 3 Mei 2011

Cara Allah Merencana dan Mewujudkan Alam Ini

بسم الله الرحمن الرحيم
Allahumma sholli ‘alaa sayyidina Muhammad, wa ‘alaa aalihi wa shohbihi ajma’iin…

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Cara Allah Merencana dan Mewujudkan Alam Ini


Mengapa Allah mencipta nyamuk dan lalat sedangkan kedua-duanya adalah serangga perosak yang membawa dan menyebabkan penyakit kepada manusia?

AL-BAARI bermaksud "Yang merencanakan segala sesuatu sebelum menciptakannya." Allah merencana dan melaksana segala kejadian yang wujud di alam ini. Sebelum alam dan seisinya ini diwujudkan atau dinyatakan sebagaimana yang kita saksikan sekarang, maka Allah SWT terlebih dahulu merencana atau Allah terlebih dahulu menciptakan batin alam ini dengan terlebih dahulu melakar gambaran atau pelan alam.

Sebelum alam seisinya itu diwujudkan Allah sebagaimana yang kita saksikan sendiri sekarang, Allah juga "Mushawwir" yakni terlebih dahulu menciptakan bentuk dan rupa alam serta kandungannya. Setiap ciptaan Allah yang berjuta dan berbilion jenis dan rupa itu semuanya mengandungi maksud tersembunyi. Tidak ada satu pun alam serta kandungannya diciptakan tanpa mengandungi erti atau tujuan. Manusia sendiri tidak banyak mengetahui mengenai keajaiban alam dan isi kandungannya.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 26, bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak malu menunjukkan perbandingan apa saja, seperti lalat atau nyamuk hingga ke sesuatu yang lebih kecil daripada itu (kuman), iaitu kalau orang-orang yang beriman, maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar-benar dari Tuhan mereka (untuk difikirkan maksudnya), dan kalau orang-orang kafir pula, maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda-benda ini?"

Dalam kenyataan firman Allah di atas itu dapatlah kita fahami walaupun sekadar berupa seekor lalat atau nyamuk ditunjukkan Allah kepada manusia sebagai perbandingan, namun tidak seorang pun manusia yang mampu menciptakan seperti seekor lalat atau nyamuk, walaupun manusia telah begitu maju dalam pelbagai ciptaan sains dan teknologi.

Cubalah kita tangkap seekor lalat atau nyamuk, lalu perhatikanlah bentuk dan susunan tubuhnya, kepalanya, matanya, kakinya, kedua-dua sayapnya, dan semua setiap ruas-ruas tubuhnya, serta fungsi setiap bahagian anggota tubuh lalat atau nyamuk tersebut, maka kita dapat mengambil kesimpulan bahawa tidak seorang pun manusia yang akan mampu menciptakan.

Rahsia di sebalik kewujudan nyamuk dan lalat

Kita singkap sedikit rahsia nyamuk dan lalat. Nyamuk aedes, misalnya amat berbahaya kepada manusia dan apabila digigit dan jika tidak segera diubati boleh membawa maut. Akan tetapi tidak sia-sia Allah menciptakannya.

Cuba kita fikirkan, disebabkan nyamuk, ahli sains, doktor dan usahawan menjadi kaya raya (seperti industri membuat penyembur dan ubat nyamuk). Buku berkaitan serangga dan penyakit yang disebabkan daripada serangga berkenaan dihasilkan untuk kegunaan pelajar.

Kita juga hairan dengan sifat dan tabiat nyamuk. Kalau manusia makan dan minum adalah untuk mendapatkan atau menambah darah merah dalam badan sehingga tubuh menjadi sihat dan kuat, nyamuk pula menghisap darah kita. Asid sejenis apakah yang dipakai oleh organ usus nyamuk itu? Begitu juga dengan tabiatnya, nyamuk beroperasi menghinggapi tubuh manusia di malam hari atau di tempat yang gelap.

Lain halnya dengan tabiat lalat. Lalat beroperasi di siang hari. Bila tiba waktu malam matanya menjadi rabun dan buta. Akan tetapi akibatnya lebih kurang saja, ia dapat menimbulkan penyakit bahaya kepada manusia bila termakan najis lalat yang jatuh ke dalam gulai atau lainnya.

Dalam kemajuan ilmu manusia, belum ada tersiar secara umum kempen membasmi lalat di mana saja berada, cuma kempen kebersihan saja yang ada. Lalat adalah makhluk Allah yang bertabiat suka membuat dan menebar kekotoran dan kerosakan, suka menghinggapi pada benda yang busuk dan yang tidak busuk. Bila hinggap pada daging atau ikan, maka lalat akan meninggalkan najis dan telurnya pada daging tersebut hingga menjadi busuk dan berulat.

Setelah ulat lalat serta bangkai yang dihinggapi lalat tersebut telah menjadi reput, maka tanah menjadi baja untuk tanam-tanaman.

Ada yang kaya kerana nyamuk dan lalat

Pendek kata, untuk mengatasi masalah lalat, manusia dapat mewujudkan pejabat-pejabat pengurusan kebersihan, tenaga pekerja pembersihan, tenaga penjagaan kebersihan, dan lain sebagainya. Dengan adanya lalat dan nyamuk, sebahagian manusia mendapat pulangan wang untuk menyara diri dan keluarganya. Ada yang kaya kerana nyamuk dan lalat.

Walaupun lalat atau nyamuk boleh memberi manfaat kepada sebahagian manusia seperti yang disebutkan di atas, lalat atau nyamuk tetap makhluk yang membawa penyakit dan penyebar bau busuk, maka serangga itu tidak perlu dipelihara atau disanjung. Cuma kita sebutkan manfaatnya di sebalik keburukannya itu supaya kita bertambah mengerti tentang kekuasaan Allah yang Maha Halus ciptaannya sehingga menambah tebal keimanan kita kepadaNya.

Kalau kita renungkan atau kita fikirkan sejenak, nyamuk atau lalat ada gunannya diciptakan Allah walalupun kita pandang enteng dan hina.

Setelah itu kita bawakan pula kepada diri kita sebagai manusia makhluk yang termulia di antara makhluk Allah lainnya. Untuk apakah tujuan Allah menciptakan manusia berada di dunia ini? Jawapannya ringkas sahaja, iaitu untuk mentaati segala perintahnya serta sentiasa memujiNya, menyanjungNya dan membesarkanNya.

Langit dan bumi asalnya bercantum

Untuk menyempurnakan pengabdian kita kepadaNya, maka hendaklah kita memikirkan tentang kehebatanNya, kedahsyatanNya, kehalusan sifatNya menciptakan alam serta seisinya ini, termasuk diri kita sendiri.

Kita renungkan pula tentang kejadian langit dan bumi yang amat besar ini serta kandungan kedua-duanya. Bahawa langit dan bumi ini pada asalnya adalah bercantum (sekepal), kerana Allah menjadikan ke dua-duanya mengandungi rencana yang amat besar kepada manusia, lalu Allah dalam proses perjalanan perubahannya, maka Allah pisahkan antara keduanya (antara langit dan bumi). Langit diciptakan Allah pada asalnya daripada wap atau asap, setelah menjadi langit yan amat luas, lalu Allah hiasi dengan berbagai pelita, yakni matahari, bulan, bintang yang tidak terkira jumlahnya baik yang besar atau kecil, jauh atau dekat, bergerak atau diam sebagaimana yang kita saksikan sendiri siang dan malam.

Firman Allah menyatakan yang bermaksud:

"Kemudian Dia (Allah) menuju ke arah menciptakan (asal/bahan) langit, sedang langit itu masih berupa asap, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahku sama ada dengan sukarela atau dengan paksa." Keduanya lalu menjawab: "Kami berdua patuh dan sukarela." (Surah Fushilat : 11).

"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sekepal), lalu Kami pisahkan antara ke duanya dan Kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup, maka kenapa mereka tidak mahu beriman?" (Surah Al-Anbiya' : 30).

Jadi, ketika langit masih berupa 'asap' itu, Allah yang bersifat Al-Baari (merencanakan) telah memuatkan rencanaNya di dalamnya segala yang akan diwujudkanNya seperti matahari, bulan dan sekalian bintang-bintang serta untuk kegunaannya, dan juga telah merencanakan di dalamnya rupa dan bentuk (Al-Musawwir) benda-benda yang akan diwujudkanNya itu seperti yang kita saksikan sendiri sekarang ini.

Dulu bumi berupa air dan langit mengandungi asap

Begitu juga bumi tatkala masih berupa 'air', Allah telah memuatkan di dalamnya segala yang direncanakannya (Al-Baari) bentuk dan rupa segala yang akan diwujudkanNya di bumi tersebut serta kegunaannya setiap benda-benda tersebut seperti tanah dan jenis-jenisnya, batu serta jenis-jenisnya, logam serta berbagai jenisnya, tumbuh-tumbuhan serta seribu satu macam dan jenisnya.

Kesimpulannya, Allah yang bersifat 'Al-Baari' lah yang merencanakan sekalian alam ini sebelum dijadikan kenyataan. Dan Allah yang bersifat 'Al-Musawwir' lah yang memberi rupa dan bentuk yang ada di alam ini, dan kerana manusialah semua itu diciptakanNya, maka manusia wajib beriman, bertakwa, patuh setia kepadaNya sebagai makhluk yang berakal.

Sekiranya manusia (umat Islam) mendalami ilmu pengetahuan tentang tauhid, yakni mengetahui dan memahami kandungan satu persatu nama Tuhan (As-maul-Husna) itu, dan kalau diwiridkan mana-mana di antara Asmaul-Husna yang 99 itu untuk mengubati mana-mana penyakit yang diderita, maka penyakit tersebut mudah dilenyapkan. Kenapa tidak, sedangkan langit yang maha luas itu serta semua perhiasannya asalnya daripada asap saja, begitu juga bumi sekalian kandungan asalnya daripada air saja, maka begitulah pengaruh atau keagungan sifat Allah yang terkandung dalam setiap nama dalam Asmaul-Husna.


Allahu Akbar!...

sumber: Milenia Muslim Online Magazine
Dikuasakan oleh Blogger.
جـَــزَاكـُــمُ اللهُ خـَــيـْــرًا كـَــثـِــيـْــرًا

  © rakanseusaha Rahmat dan Hidayah ALLAH tetap berterusan by Blogger.com 2010

Back to TOP