Anakku,
Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Padahal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Walau begitu sukar untuk mendapatnya tetapi jangan sekali-kali kau korbankan jalan yang benar hanya untuk mencapai kemenangan. Biar kalah, jangan salah. Percayalah, kemenangan tanpa kebenaran tetap satu kekalahan di sisi Allah!
Paling teruji apabila kau lihat orang lain yang mengikut lorong salah…lalu dia cepat sampai, sedangkan kau di lorong yang betul masih lelah menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu. Dan hampir-hampir kita melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tega melihat kebatilan melonjak ria.
Namun anakku, percayalah akhirat itu ada. Ada lagi ketawa di sana. Dan percayalah “One who laugh last, laugh the best” – ketawa paling akhir (di syurga) adalah ketawa yang paling baik. Beringat-ingatlah, sesiapa yang ketawa dalam membuat dosa ketika di dunia akan masuk ke neraka dalam keadaan menangis.
Anakku,
Aku ingin mengingatkan bahawa acapkali duri berselindung di sebalik bunga…lalu kita yang tercium keharumannya sering alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Sudah lumrah dunia, huluran tangan yang ikhlas dan lembut kadang-kadang dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yang lembut dan halus dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati yang paling tajam. Tetapi jangan kau gusar, kekalkan kejujuranmu walaupun terpaksa terkorban. Asalkan sahaja kejujuran itu diiringi satu kebijaksanaan.
Ingatlah hakikat ini, bahawa tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Justeru, di sana ada akhirat supaya segala topeng kepura-puraan yang selama di dunia bertakhta akan terhenyak dan mendapat pembalasan. Jangan gopoh untuk menang. Lihatlah betapa lamanya doa Nabi Musa dimakbulkan. Kenangkan pula betapa lama perjuangan Nabi Ibrahim dimenangkan. Paling nestapa apabila nasib Yasir dan Sumaiyah yang terpaksa terkorban tanpa merasai nikmat kemenangan. Sama pula nasibnya seperti Siti Asiah yang dibunuh oleh Firaun laknatullah.
Apa pinta Siti Asiah menjelang kematiannya? Ya Allah binakan aku sebuah rumah di syurga. Apa pesan Rasulullah untuk Yasir dan Sumaiyah? Sabarlah keluarga Yasir, bagimu syurga. Kenangkan syurga wahai anakku…tagihlah janji Allah itu!
Namun, jika itu yang kita ingatkan kepada yang lain, pasti ada yang mengatakan bahawa itu hanya escapisme. Apabila kecewa dengan manusia, orang “lari” kepada Tuhan; apabila terlepas kenikmatan nafsu, baru ada yang merintih syurga itu ada!
Bukan, tidak begitu. Keyakinan kepada Allah dan hari akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh ateis dalam diri yang mendakwa bahawa manusia itulah yang “mencipta” Tuhan demi ketenangan. Manusia tidak mencipta Tuhan demi satu ketenangan, tetapi Tuhan mencipta manusia untuk mengingati-Nya kerana di situ ada ketenangan.
Lalu selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan manusia. Dan sesiapa yang memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya!
Kita tidak selalu benar dalam pendirian dan tindakan…kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenang, tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah…tetapi semua itu adalah “bayaran tol” di lebuh raya mujahadah.
Anakku,
Marilah sama-sama kita berdoa:
"Ya Allah, ampunkanlah kami. Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmat-Mu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu."
" Ya Allah, cuma satu…cuma satu janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufik-Mu!"
"Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar…walau apa jua keadaan dan cabarannya!"
Amin.
Nukilan: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
p/s: Jujur...hati begitu bahagia membacanya...moga ade manfaatnya bt pembaca sekalian khususnya, insyaALLAh....Salam kasih sayang, dan doa hidayah untuk umat seluruhnya =)
Assalamu'alaikum wbt...